Pelatih Kor SISPA Diberi Keutamaan Berkhidmat Dalam Angkatan Pertahanan Awam

PENGLIBATAN pelajar dalam pasukan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (KOR SISPA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) adalah platform terbaik kepada mereka untuk berkhidmat dalam pasukan beruniform  Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebaik sahaja tamat pengajian di universiti.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) selaku Komandan Kor SISPA UMK, Penolong Pesuruhjaya Kehormat (PA) Prof. Abdul Aziz Abd. Latif berkata, berdasarkan maklumat terkini menunjukkan terdapat kumpulan pertama pelatih Kor SISPA UMK telah ditawarkan sebagai anggota Sukarelawan Tugas Pejabat (ASTP) di APM (dahulu dikenali sebagai Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

mak2016-2Katanya, pelajar yang terlibat dalam Kor SISPA  ini diberi keutamaan berbanding orang awam  untuk menyertai pasukan beruniform APM dengan kelayakan dan kriteria yang ditetapkan serta boleh menyandang pelbagai jawatan sama ada di pejabat induk atau daerah.

“Tidak dinafikan dengan menyertai Kor SISPA ini mampu melatih dan membentuk pelajar menjadi seorang pemimpin yang  dapat menilai dengan bijak dalam apa perkara disamping dapat mewujudkan dan mempratikkan ciri-ciri kemahiran insaniah (soft skills) seperti yang telah digariskan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi.

“KI terdiri daripada tujuh elemen merangkumi kemahiran komunikasi, kemahiran kepimpinan, pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran keusahawan, etika dan moral, kemahiran kerja berpasukan dan pembelajaran berterusan serta pengurusan maklumat,” katanya pada Majlis Amanat Komandan 2016, anjuran Kor SISPA, di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, pada 21 Oktober 2016.

Turut hadir, Presiden Orang Kota Bharu (OKB) merangkap Penolong Pesuruhjaya Kehormat (PA) Dato’ Hj. Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad, Timbalan Komandan Kor SISPA UMK, Leftenan Kolonel Zulhazman Hamzah dan Mejar Bersekutu (PA) Kor SISPA UMK, Wan Ahmad Khairul Wan Ahmad Najib.

mak2016-3Menurut Prof. Abd. Aziz, pada masa ini jumlah keseluruhan anggota Kor SISPA adalah seramai 115 anggota membabitkan dua kampus tidak termasuk pengambilan baharu kumpulan keempat yang kini dalam proses pengambilan.

Beliau berkata, lazimnya berdasarkan penetapan pengambilan baharu hanya dua platun sahaja dibenarkan iaitu seramai 66 orang yang akan dipilih untuk menganggotai Kor SISPA setiap tahun.

“Sejarah penglibatan UMK dalam pasukan Pertahanan Awam bermula pada tahun 2010 melalui penyertaan pertama pada Majlis Pentauliahan dan Perhimpunan Kor SISPA yang diadakan di UiTM, Shah Alam, Selangor.

mak2016-1“Hasil daripada penglibatan secara serius dalam program Kor SISPA dan melalui sokongan Pengurusan Tertinggi UMK, penubuhan UMK telah diluluskan pada 31 Disember 2011 oleh APM,” jelas beliau.

Tambah beliau, seramai 35 anggota kumpulan pertama telah berjaya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda (PA) pada tahun 2014 dan pada tahun 2016 sekali lagi seramai 44 anggota Kor SISPA UMk telah berjaya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda (PA).

“Sekali lagi sejarah tercipta apabila Kor SISPA UMK diberi penghormatan sebagai Universiti pertama memakai pakaian One Dress pada majlis pentauliahan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, pada 17 hingga 21 Ogos 2016,” katanya.

Untuk makluman, Kor SISPA UMK telah diselaraskan oleh Mejar Bersekutu (PA) Wan Ahmad Khairul dan dibantu oleh Kapten Bersekutu Raja Azlan bin Raja Ismail, Kapten Bersekutu (PA) Mohd Fadli bin Mohd Zain dan Kapten Bersekutu (PA) Nor Azlina binti Kamaruddin

Oleh : Syarimie Wosley
Foto  : Ab Halim Hafiz Ab Aziz & Wan Ahmad Khairul Wan Ahmad Najib