TNC (HEPA) Terima Pemakaian Pangkat Penolong Pesuruhjaya Kehormat Pertahanan Awam

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), YBhg. Prof. Abd. Aziz Ab. Latif menerima watikah pelantikan sebagai Penolong Pesuruhjaya Kehormat (Pertahanan Awam) pada majlis  Penganugerahan Pingat dan Sijil

Penghargaan, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM)  2016, di Pejabat Pertahanan Awam, Kangar, Perlis, pada 1 April 2016.

Majlis penganugerahan yang membawa gelaran Komandan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA UMK) telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pertahanan Awam, YBhg. Dato’ Ogu Salim Omar, sempena sambutan Hari Ulangtahun Pertahanan Awam Peringkat Kebangsaan kali ke 64 tahun.

 

Pada majlis itu, sebanyak 168 pingat dianugerahkan kepada 33 pegawai tetap, 29 pegawai kehormat/bersekutu dan pasukan dan 109 pingat dan sembilan sijil penghargaan untuk Anggota Sukarela Pertahanan Awam (ASPA).

Turut hadir, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara, YBhg. Dato’ Zaitun Ab. Samad dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Pertahanan Awam, Dato’ Hj. Selamat Dahalan.

Tauliah TNC4

Menurut Prof. Abd. Aziz, pelantikan itu memberikan suntikan semangat kepada universiti khususnya yang terlibat dalam keanggotaan Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA UMK) untuk terus aktif dalam aktiviti kesukarelawanan.

 

Beliau melahirkan rasa bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada JPAM atas penganugerahan ini dan berharap pertauliahan ini sebagai pembakar semangat kepadanya dan universiti untuk terus memberi khidmat bakti kepada negara.

Katanya, UMK mula terlibat secara aktif dalam penubuhan Kor SISPA UMK sejak diluluskan penubuhan iaitu pada 2011 dan merupakan Universiti yang ke-19 mendaftar secara sah dengan pihak JPAM.Tauliah TNC11

“Matlamat penubuhan Kor SISPA ialah untuk membentuk para graduan melalui pelbagai aktiviti pertahanan awam bertujuan memantapkan semangat patriotik serta meningkatkan tahap disiplin dan membina semangat bekerjasama berlandaskan semangat kesukarelawanan dan penglibatan khidmat sosial,” katanya.

 

Tambah beliau, keahlian Kor SISPA UMK ialah seramai 127 orang anggota pada masa ini terdiri daripada mahasiswa di ketiga-tiga kampus dan universiti  sedang berusaha untuk melaksanakan penambahan anggota bertujuan untuk memudahkan penganjuran pelbagai aktiviti kesukarelawan.

Tauliah TNC5

“Penglibatan UMK dalam Kor SISPA adalah untuk membentuk satu masyarakat khususnya kepada pelajar melalui pelbagai aktiviti kesukarelaan bagi memantapkan semangat patriotik dan meningkatkan tahap disiplin serta membina semangat bekerjasama

“Kita sentiasa terbuka untuk menerima pelajar yang berminat kerana pasukan beruniform adalah platform untuk pembinaan sahsiah dan kepimpinan pelajar daripada aspek displin serta untuk penglibatan dalam aktiviti kesukarelawan untuk mendekati masyarakat setempat,” ujarnya.

Kor SISPA UMK telah diselaraskan oleh Kapten Bersekutu (PA) Wan Ahmad Khairul bin Wan Ahmad Najib dan dibantu oleh Kapten Bersekutu Raja Azlan bin Raja Ismail, Kapten Bersekutu (PA) Mohd Fadli bin Mohd Zain dan Kapten Bersekutu (PA) Nor Azlina binti Kamaruddin mengikut portfolio masing-masing.